Cara Mengurus Tantrum Anak

Anak meragam atau ‘tantrum’ adalah perkara yang biasa dihadapi ibu bapa dalam membesarkan anak-anak. Sebagai ibu bapa, jangan rasa kecewa atau terlalu risau andai anak anda kerap tantrum. Menurut penulis buku ‘The Social Toddler’, tantrum merupakan satu tanda normal anak-anak yang meningkat dewasa. Ianya proses normal untuk kanak-kanak mengenali emosi dan diri mereka.


Umur Berapakah Anak Akan Kerap Tantrum?

“The Terrible Two”. Ini adalah frasa yang kerap didendangkan kepada ibu bapa kanak-kanak berusia sekitar dua tahun. Ya, menurut kajian, tantrum bermula sekitar umur 18 bulan, walaupun sesetengah kanak-kanak mungkin menunjukkan tanda tantrum lebih awal atau lebih lewat. Sikap begini akan berterusan sehingga umur 5-6 tahun setelah minda kanak-kanak cukup matang dan sudah mampu mengawal emosi.

Bagaimana Cara Mengurus Anak Tantrum?

Tantrum adalah hampir mustahil untuk dielakkan. Apa yang ibu bapa boleh lakukan adalah dengan menerima seadanya serta mengurus keadaan ini dengan baik.
Di sini, kami akan cuba menghuraikan beberapa tips pengurusan tantrum yang diharapkan dapat menjadi panduan ibu bapa sekalian. Harus diingat, setiap kanak-kanak adalah unik dan tips ini adalah secara umum sahaja. Jangan kecewa andai anda tidak dapat mengikuti sepenuhnya tips-tips berikut.

1. Bertenang

Dalam apa jua keadaan, ibu bapa perlu bertenang dahulu. Benar, ini sangat sukar dilakukan lebih-lebih lagi andai tantrum berlaku di tempat awam di khalayak ramai. Namun, bertenang adalah kunci utama ibu bapa bertindak rasional. Kegagalan untuk bertenang boleh mengakibatkan anak-anak ditengking malah mungkin dipukul yang bakal meninggalkan kesan berpanjangan pada emosi anak-anak.

Untuk bertenang, pertama, terimalah kenyataan bahawa tantrum adalah perkara biasa bagi kanak-kanak. Ianya tidak hanya terhad kepada anak-anak kita sahaja. Terima mereka seadanya.
Kedua, cuba untuk menarik nafas sedalam-dalamnya dan lepaskan sedikit demi sedikit. Kawalan pernafasan yang baik boleh membantu membekalkan oksigen yang mencukupi untuk otak kita bertindak lebih rasional.

2. Cari Punca Tantrum

Kenalpasti punca anak tantrum. Adakah kerana dia tidak mendapat mainan yang diingini? Adakah kerana anak gagal melakukan suatu tugasan? Adakah kerana kita tidak melayannya ketika anak-anak ingin bercerita? Adakah kerana inginkan perhatian?

Mengenalpasti punca adalah penting untuk ibu bapa memberikan reaksi yang sebaiknya. Bagaimana untuk mengenalpasti punca tantrum? Di sini, kepekaan ibu bapa dan sejauh mana kita mengenali anak-anak kita memainkan peranan. Andai anda kerap gagal mengenalpasti punca anak-anak tantrum, jangan berputus asa, teruskan peka memerhati gelagat anak-anak kita. Sepertimana anak-anak kita, ibu bapa juga di dalam fasa mengenali peribadi anak-anak kita sendiri.

3. Time-Out Session

Time-out merupakan satu sesi di mana anak-anak akan diminta duduk di suatu sudut atau tempat khas. Ibu bapa perlu dengan jelas menyatakan bahawa perlakuan tantrumnya adalah salah dan minta untuk anak duduk di situ untuk tempoh 2-5 minit. Perkara ini berupaya untuk memberikan ruang dan masa untuk anak berfikir (walaupun sekadar 2-5 minit) tentang tindakannya yang mungkin tidak difikirkan dengan masak.

Adapun begitu, teknik ini mungkin hanya sesuai di rumah di mana terdapat ruang khas time-out untuk anak.

4. Pelukan Erat

Ada kalanya kesibukan kita sehingga terbawa-bawa ke rumah mengakibatkan kita dilihat mengabaikan anak-anak kita. Mungkin begitu sudut pandang anak-anak kita yang menyangka kita sudah tidak menyayangi mereka. Oleh itu, mereka kerap tantrum untuk kembali mendapatkan kasih sayang kita, pada pandangan mereka.

Peluk mereka erat-erat. Pelukan yang erat membuatkan anak kita kembali tenang dan yakin ibu bapa mereka tetap menyayangi mereka.

Malah, terdapat kajian saintifik yang menunjukkan bahawa sentuhan kulit dengan anak-anak (termasuk pelukan) adalah sangat penting dalam perkembangan otak kanak-kanak. Melalui stimulasi sentuhan, tahap hormon berkaitan dengan stress terbukti boleh berkurang.

5. Bercakap Pada Aras Mata Anak

Jika kita ingin bercakap dengan anak-anak kita, pastikan kita menurunkan badan kita supaya mata kita sama aras dengan mata anak kita. Cara sebegini dipanggil “child active listener” dan menunjukkan ibu bapa lebih serius untuk mendengar kata-kata anak-anak kita. Teknik ini walaupun nampak mudah, namun impaknya sangat penting bagi memupuk nilai yakin pada diri dalam anak-anak kita serta menggalakkan mereka untuk menceritakan perasaan mereka. Kemampuan meluahkan perasaan adalah satu fasa penting perkembangan anak-anak.

6. Tarik Perhatian Anak Dengan Perkara Lain

Antara cara mengurus tantrum anak yang lain pula adalah dengan menarik perhatian anak dengan perkara lain yang diminati. Sebagai contoh, andai anak-anak menangis kuat untuk mendapatkan satu permainan di pasaraya, andai anda tidak mahu membelikannya (atas sebab yang munasabah), cuba untuk tarik perhatiannya kepada perkara lain. Contohnya, kepada buku dengan gambar dinosaur yang diminatinya. Atau kepada baju Upin Ipin yang dipakainya.

Namun, jangan sesekali menarik perhatian anak dengan mengumpannya kepada perkara yang tidak dapat kita tunaikan. Teknik ini juga tidak boleh digunakan secara berlebihan kerana ada kalanya, tantrum anak hanyalah bertujuan untuk meluahkan perasaannya. Ada kalanya kita perlu mendengar luahan mereka untuk lebih mengenali emosi mereka.

7. Memindahkan Anak ke Tempat Lain

Ada juga ibu bapa yang menguruskan tantrum anak dengan membawa anak ke tempat lain. Sebagai contoh, jika anak tantrum di ruang tamu, dukung anak ke bilik tidur yang mungkin boleh dikaitkan dengan ketenangan dan tempat yang selamat.

Namun, cara ini boleh jadi berkesan seandainya ibu bapa mengetahui dengan baik apakah tempat yang anak-anak rasa selamat dan tenang. Jangan berputus asa, teruskan mengenali anak-anak anda.

Kesimpulan

Tiada satu ramuan khas untuk menenangkan anak tantrum apatah lagi terus mengelakkannya. Tantrum adalah sebahagian daripada proses tumbesaran anak dan penting untuk mereka mengenali emosi dan perasaan mereka. Kesabaran dan kecekalan ibu bapa adalah kunci bagi menguruskan tantrum anak.

Akhir kata, ingatlah, anak kita adalah unik oleh itu, cara menguruskannya juga adalah unik dan jangan terlalu dibandingkan dengan anak orang lain. Lain keluarga mempunyai cabaran mereka sendiri dalam membersarkan anak.

Happy Parenting!

Sumber : Cozy Baby 


Coretan Tanpa Sempadan
~Umi Ann~


No comments:

Post a Comment