Bornday

Hari ini genap usia aku 38tahun.

Dalam tempoh 38tahun ini macam-macam telah dilalui. Suka, duka, gembira, sedih, dicemuh, disanjung, dikecam..segalanya.

Kadang terfikir, apa lagi nikmat Allah yang masih belum untuk aku syukuri. Aku punyai suami, anak-anak yg comel bijak, kerjaya, keluarga, sahabat-sahabat yang sentiasa menyayangi. Aku takut untuk menjadi kufur.


Dalam usia begini, aku dah malas nak fikir perangai manusia yang bersifat dengki, iri hati, busuk hati, sentiasa cemburu, manusia-manusia yang tak sukakan aku, yang mengata dan memburukkan aku di belakang, yang sentiasa ingin lihat aku jatuh, sakit, manusia-manusia yang selalu mencari salah aku.

Biarlah mereka dengan cara mereka. Kita ada Allah untuk menghukum. Allah boleh bayar 'cash' pada mereka. Kalau fikir berlarutan, hati sendiri yang sakit, diri sendiri yang merana.

Hidup ni kan roda..

Tiba masa untuk aku lebih mencari saham akhirat, perbanyakkan amal kebaikan walau aku tahu aku tak 100% baik tapi aku cuba dan aku sedaya minta pertolongan Allah untuk bantu aku menjadi yang terbaik buat semua orang. Aku tak pernah putus doa untuk itu.

Tiba masa untuk aku memikirkan tentang diri sendiri, tentang masa depan, tentang kehidupan bersama yang tersayang, tentang nak kumpul harta untuk anak-anak. Hati dan perasaan sendiri itu yang terutama.


Hidup ini terlalu singkat untuk ditangisi. Hidup ini terlalu singkat untuk disurami. Hidup ini terlalu singkat untuk diratapi.

Nikmatilah keindahan kehidupan yang Allah kurniakan. Hidup ini sangat manis untuk dikenang. Tanamlah dalam diri dan hati sifat kasih sayang yang mendalam sesama insan. Buang jauh-jauh segala yang negatif, buang jauh-jauh segala yang tidak baik. Kalau kita rasa sendirian, jangan pernah lupa Allah ada selalu bersama hamba-hambaNya yang tidak pernah lupa untuk terus bercinta denganNya.

Pada arwah ibu, terima kasih kerana melahirkan Ann. Terima kasih kerana membesarkan Ann dengan sepenuh kudrat yang ada. Terima kasih kerana mendidik Ann seperti mana Ann pada hari ini.

Pada ayah, terima kasih kerana berkorban untuk Ann. Terima kasih menjaga dan membesarkan Ann. Terima kasih kerana menjadi ayah Ann.

Semoga Allah sentiasa memberkati ayah dan semoga arwah ibu tenang bahagia di sana.

Terima kasih pada suami kerana tetap tenang melayan kerenah isteri gonjeng dia ni. Isteri dunia akhirat. Terima kasih anak-anak bijaksana umi kerana sentiasa cari umi walau umi hilang kejap pergi buang sampah. Terima kasih pada semua, terima kasih yang tidak terhingga.

Aku sayang semua yang sayang aku. Aku sayang semua yang sentiasa ada untuk aku. Aku sayang semua yang sentiasa mendoakan aku.

Alhamdulillah, tq Allah!

Jangan pernah putus doa buat aku, kerana aku bukan seorang yang sempurna. Andai kata aku dah pergi selamanya dari dunia ini, selalulah lawat pusara aku, sedekahkan alfatihah buat aku, doakan aku, bacakan Al-Quran buat aku walau di mana korang berada.


Coretan Tanpa Sempada
~Umi Ann~


No comments:

Post a Comment