Kulit wajah yang bersih mampu menyerap nutrisi lebih maksima. Cuci
bersih wajah dengan menggunakan air suam. Pastikan anda memilih pencuci
muka yang sesuai dengan kulit wajah. Bagi anda yang memakai solekan,
pastikan anda mencuci bersih wajah. Untuk menanggalkan sisa-sisa solekan
dan kotoran dengan baik, apa kata gunakan berus wajah yang lembut.
Urutan halus dari berus wajah ini juga dapat membantu melancarkan
peredaran darah pada wajah. Setelah itu, lap dengan tuala bersih.
Pastikan tuala wajah di tukar secara berkala untuk mengelakkan bakteria.
Akhir sekali, semburkan penyegar atau toner untuk mendapatkan hasil
yang lebih maksima sebelum menyapu serum dan juga pelembap. Setelah
mencuci wajah dengan pembersih, pakai serum sebelum menyapu pelembap
yang sesuai untuk kulit anda. Kemudian barulah disapu krim pelindung
cahaya matahari. Begitu juga dengan malam hari. Gunakan krim malam dan
juga krim mata.Kandungan yang terdapat di dalam mata membantu
memperbaiki dan melindungi kulit sekitar terutama bagi yang sensitif dan
cenderung untuk berlakunya garis-garis halus. Bagi anda yang berusia
30-an, gunakan krim yang mengandungi anti kedutan terutama di bahagian
hujung mata, dahi dan bahagian tepi bibir. Membersihkan wajah tidak
sekadar mencuci wajah dan menyapu pelembap. Sebaliknya, ia perlu di
tambah dengan rawatan ekstra untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.
Antaranya termasuklah bertemu dengan pakar atau doktor kulit sekiranya
wajah anda mengalami sebarang masalah.
Produk anti penuaan.
Penggunaan produk anti penuaan perlulah dimulakan sejak awal,
sekurang-kurangnya apabila usia sudah memasuki awal 20-an. Selain
penggunaan produk pencuci muka, pelembap dan juga krim pelindung cahaya
matahari, susuli rawatan kulit wajah dengan penggunaan produk seperti
serum, krim malam dan krim mata.
Sebaiknya, pilih produk rawatan anti penuaan yang sesuai untuk usia
anda. Ini kerana, bahan yang terdapat di dalamnya dapat membantu
melambatkan proses penuaan. Dalam masa yang sama, jangan abaikan pola
makan yang sihat selain mempraktikkan gaya hidup yang sihat.
Rutin senaman.
Bagi mendapatkan tubuh yang segar dan bertenaga selain menjaga bentuk
badan, lakukan senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama
30-60 minit. Selain itu, ia juga baik untuk jantung. Bagi anda yang
tiada masa untuk bersenam, apa kata cuba gerakan ringan dan mudah
dilakukan. Ketika bangun pagi, berjalanlah mengelilingi rumah
sekurang-kurangnya 15 minit. Ini membolehkan tubuh terasa lebih segar.
Setelah itu, disusuli dengan senaman ringan atau tambahkan senaman
lantai yang ringan dan ringkas. Ketika di pejabat rehatlah seketika
sekurang-kurangnya 5-10 minit ketika sibuk bekerja. Bangun dari tempat
duduk dan hirup udara segar. Regangkan badan dan atur pernafasan sambil
memejamkan mata untuk seketika. Ini membolehkan wajah terasa lebih segar
dan tubuh lebih relaks. Tekanan kerja dan persekitaran menyebabkan
terasa stres sekali gus membuatkan otot-otot wajah menjadi tegang dan
ini mudah menimbulkan kedutan terutama di bahagian dahi selain
membuatkan wajah kelihatan lebih tua. Justeru, elakkan dari terlalu
stres dan berfikiran positif. Ini akan membantu mendapatkan wajah lebih
segar dan awet muda berbanding mereka yang banyak berfikir. Lakukan
senaman wajah dengan mengunyah makanan lebih lama dan perlahan-lahan.
Gerakan otot ini bagus untuk menjaga metabolisme tubuh dan juga baik
untuk penghadaman. Ini kerana mengunyah lebih lama akan membantu usus
mencerna makanan lebih cepat dan tubuh akan terasa lebih kenyang
berbanding jika anda makan secara terburu-buru.
Rehat yang berkualiti.
Jaga kualiti tidur anda untuk membolehkan tubuh berehat selain
memproses dan memperbaiki sel di dalam badan. Justeru, tidur
sekurang-kurangnya 6-7 jam sehari. Jangan biarkan otak tidur di dalam
keadaan stres. Pastikan anda tidur tanpa gangguan dari bunyi telefon,
buku dan televisyen. Jangan jadikan tempat tidur anda ruang untuk
membuat kerja. Bilik tidur harus lah zon yang selesa dan jika mahu
menempatkan televisyen di dalam bilik, pastikan anda tidak membukanya
kerana ia boleh menyebabkan anda tidak jadi tidur. Nyalakan lampu malap
atau gunakan cahaya dari luar sudah memadai kerana tidur di dalam
keadaan gelap akan membantu tubuh menghasilkan hormon yang baik untuk
pertahanan tubuh sekali gus menjaga sel tubuh dari rosak. Hindari minum
terlalu banyak air sebelum tidur kerana ia akan menyebabkan anda terjaga
di tengah malam untuk ke tandas sekali gus mengganggu masa tidur anda.
Khasiat air putih.
Jangan sesekali meninggalkan pengambilan air putih dalam rutin harian
anda. Ini kerana, air putih yang mengandungi hidrogen, oksigen dan
mineral mampu membantu melancarkan peredaran darah, membuang kotoran dan
toksin di dalam tubuh sekali gus dapat membantu menjaga kelembapan
kulit. Selain itu, kekurangan air menyebabkan kulit mudah kering dan ini
menyebabkan kulit anda tampak lebih kusam dan mempercepatkan proses
penuaan jika dibandingkan dengan kulit yang terpelihara kelembapannya.
Pengambilan vitamin.
Kandungan vitamin yang terdapat di dalam sayur-sayuran misalnya dapat
membantu melindungi dan memperbaiki sel-sel tubuh untuk awet muda.
Justeru, pastikan anda memasukkan sekali buah dan sayur
sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Contohnya, pilih buah yang kaya
dengan serat dan vitamin A, C dan E untuk mendapatkan kulit yang sihat
dan awet muda. Manakala Vitamin C yang terdapat di dalam jambu batu,
strawberi mahupun brokoli dikatakan dapat membantu untuk antioksida.
Masker wajah.
Selain penggunaan produk kecantikan, anda juga boleh menggunakan
bahan-bahan semula jadi sebagai benteng dalam memelihara kulit wajah.
Antaranya penggunaan telur putih yang dicampurkan dengan limau nipis dan
diadun sebati. Penggunaan putih telur dapat membantu mengencangkan
kulit selain membantu mengecilkan liang-liang roma. Kandungan protein di
dalam telur juga boleh membantu melembapkan kulit serta mempercepatkan
proses regenerasi. Manakala limau nipis pula kaya dengan vitamin C yang
berfungsi sebagai antioksida untuk membantu melawan penuaan. Sebaiknya,
lakukan masker ini sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk hasil yang
lebih maksima.
Cantik di hati:
Jika semua yang kita kehendaki terus kita miliki dari mana kita belajar ikhlas.
Jika semua yang kita impikan segera terwujud dari mana kita belajar sabar.
Jika setiap doa kita terus dikabulkan bagaimana kita dapat belajar ikhtiar.
Jika hidup kita selalu bahagia bagaimana kita dapat kenal Allah lebih dekat.
Yakinilah dan percaya segala ketentuan-Nya adalah terbaik untuk kita.
Coretan Tanpa Sempadan
~Ummi Ann~
No comments:
Post a Comment